image

MEMBUANG jauh perasaan rendah diri dalam dirinya, Ketua Pegawai Eksekutif Poto Travel & Tours Sdn Bhd, Ab Rahman Mohd Ali pernah bergelar seorang konduktor bas mini pada awal 1980-an.

Siapa sangka, konduktor bas dari Kampung Nakhoda ke Old Town, Petaling Jaya kini menjadi ahli perniagaan berjaya dengan menerokai bidang pelancongan dalam dan luar negara.

Mengimbas kembali permulaan Ab Rahman di kota metropolitan, anak kelahiran Segamat, Johor ini merantau ke Kuala Lumpur dengan berbekal Sijil Pelajaran Malaysia (SPM bagi mengubah kehidupannya.

“Saya datang ke Kuala Lumpur pada 1981 dan mahu mengubah kehidupan dengan melakukan pelbagai pekerjaan.

Selain konduktor bas, saya pernah bekerja kontrak, jurujual dan menjadi peladang iaitu menanam betik dan cili serta membela itik bagi mengutip pengalaman.

“Beberapa tahun kemudian, saya bertukar kerja dan menjadi penghantar surat di sebuah syarikat pelancongan dengan gaji RM300 sahaja.

Bekerja sebagai tukang hantar surat, saya perlu cepat. saya kerap dimarahi kerana lewat dan paling dirisaukan apabila menunggang dengan laju. Bahaya.

“Saya mahu membantu keluarga di kampung dan membina keluarga bahagia, saya nekad mula belajar mengenai pakej pelancongan daripada pegawai pelancongan dari syarikat saya bekerja,” katanya.

Peluang keemasan

Ab Rahman belajar mengenai selok-belok pelancongan dan penerbangan.

“Alhamdulillah, pada 1987 saya diterima sebagai pegawai jualan agensi pelancongan dan ditugaskan ke pejabat kerajaan dan syarikat swasta memperkenalkan syarikat dan perkhidmatan yang disediakan. Saya menerangkan mengenai jualan tiket, penempahan hotel, tempat pelancongan menarik dan pakej luar negara yang ditawarkan,” katanya.

Katanya, rezekinya semakin bertambah apabila ditawarkan menjadi pegawai jualan di syarikat pelancongan Lintas Travel & Tours.

“Di situ, saya melihat peluang menyumbang sesuatu kepada syarikat dengan membina pakej pelancongan dalam dan luar negara. Saya terlibat dalam pembangunan pakej umrah dan haji dan pada 1995, saya keluar daripada syarikat itu,” katanya.

Selepas meninggalkan syarikat tersebut, Ab Rahman menjadi rakan kongsi Sri Sutera Travel dan membina Divison Timur Tengah, pakej haji dan umrah.

“Alhamdulillah, pada 1996 saya ditawarkan sebagai Pengarah Jualan Rantau Asia bagi sebuah syarikat Arab Saudi. Saya bekerja selama enam tahun dan di situ saya mahu menerokai perniagaan pelancongan antarabangsa.

“Pada 2000, saya menjadi Ketua Pegawai Eksekutif di Lintas Flywell Travel,” katanya.

Modal perniagaan RM100,000

Bagaimanapun katanya, pada 2003, dia tekad menjalankan perniagaan sendiri dengan menubuhkan syarikat Pearl Of The Orient Travel & Tours dengan menyewa lesen perniagaan daripada rakannya dan menjalankan operasi sendiri.

“Saya memulakan perniagaan dengan bermodalkan RM100,000 sahaja yang dipinjam dari adik-beradik dan simpanan sendiri. Dengan modal yang sedikit saya mempunyai tujuh kakitangan dan empat daripadanya ialah adik-beradik saya sendiri.

“Industri pelancongan memerlukan modal yang besar untuk aktiviti promosi dan menyebabkan saya mengambil langkah berjimat cermat. Kami akan menyimpan RM2 dalam tabung yang disediakan setiap hari untuk digunakan membeli bahan masakan kami,” katanya.

Tambahnya, kakaknya, Zainun Mohd Ali akan ditugaskan untuk memasak kepada mereka semua dan mengakui itulah momen indah yang tidak mungkin dilupakan.

“Kami menyewa pejabat yang kecil dengan sewa RM1,500. Itu bukanlah alasan untuk saya tidak boleh memajukan syarikat kerana apa yang penting adalah kejujuran dalam menjalankan perniagaan,” katanya.

Bijak mengatur strategi

Tanpa sebarang pelajaran formal dalam perniagaan pelancongan, Ab Rahman yakin akan berjaya sekiranya berusaha bersungguh-sungguh dan sentiasa memandang ke depan.

“Saya melihat untuk maju ke hadapan dengan cepat, saya perlu mengubah minda kami semua. Walaupun beroperasi di kawasan yang tidak kondusif tetapi saya sematkan dalam diri untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan kerana kami menyediakan 10 destinasi pada ketika itu dan mendapat sambutan yang memberangsangkan,” katanya.

Ab Rahman berkata, selain menumpukan kepada pakej umrah, syarikatnya mengetengahkan pakej pelancongan Muslim melancong keluar negara kerana tidak ramai syarikat Bumiputera berbuat demikian.

“Saya merebut peluang tersebut kerana kebanyakan pakej Muslim melancong luar negara dikuasai bukan Bumiputera pada ketika itu. Saya mahu menyediakan perkhidmatan ‘world class’ kepada pelanggan-pelanggan saya.

“Saya mengubah cara pemikiran pekerja saya dengan memastikan kualiti perkhidmatan diutamakan sejak mula proses pelanggan bersama kami iaitu daripada menelefon sehingga mereka pulang daripada melancong bersama kami,” katanya.

Tambahnya, kualiti perkhidmatan yang diberikan perlu setimpal dengan pembayaran yang dilakukan.

“Saya juga bekerjasama dengan pelbagai agensi media untuk mempromosikan syarikat saya dengan menaja beberapa program hiburan tempatan dan melancong bersama artis.

“Apabila melibatkan kerjasama bersama media, syarikat perlu melakukan penambahbaikan dan berhati-hati melakukan promosi serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kami,” katanya.

Sabar menghadapi cabaran

Ab Rahman mengakui bukan mudah untuk mengukuhkan perniagaannya, pelbagai cabaran terpaksa dilalui dan menganggap cabaran sebagai satu motivasi kepada dirinya.

“Syarikat saya didatangi Kementerian Pelancongan (pada ketika itu), Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja pada 2004 kerana melakukan pemeriksaan ke atas syarikat saya.

“Pemeriksaan tersebut disebabkan syarikat menerima publisiti yang banyak. Ia memberikan saya satu pengajaran yang berguna apabila saya tidak menyedari saya berniaga tanpa lesen kerana saya menyewa lesen dan ia mati,” katanya.

Beliau berkata, selepas mereka melakukan pemeriksaan dan mendapati perniagaan saya dijalankan dengan mengikut prosedur seperti melakukan pembayaran cukai, bayaran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pekerja dan susunan dokumen yang betul, Kementerian Pelancongan berkeyakinan untuk memberikan lesen kepada syarikatnya.

“Saya menukar nama Pearl Of The Orient dan melakukan penjenamaan semula Poto Travel Travel & Toursm,” katanya.

Ab Rahman berkata, cabaran lain ialah kurang mendapat kepercayaan daripada syarikat penerbangan dalam dan luar negara dan menyebabkan untuk bersaing agak sukar.

“Perjalanan kami untuk mempelbagaikan destinasi mulanya hanya 10 destinasi kini mempunyai 60 destinasi ke luar negara termasuklah Amerika Utara dan Amerika Selatan, sudah meliputi seluruh dunia kecuali Afrika Utara,” katanya.

Tambahnya, syarikatnya hanya menyediakan sebanyak 600 sehingga 800 tempat duduk untuk umrah dan tidak menyediakan pakej haji.

Poto semakin maju

Ab Rahman berkata, selepas beberapa tahun beroperasi, pelbagai agensi kerajaan dan syarikat swasta menggunakan perkhidmatan mereka untuk lawatan rasmi dan pakej pelancongan.

Bagaimanapun katanya, kejayaan tersebut tidak dapat diperolehi tanpa sokongan ibu bapa, isterinya, Norita Muhamad dan adik-beradik serta kakitangannya.

“Kejayaan syarikatnya adalah pengorbanan besar saya dan kakitangan. Keuntungan saya perolehi saya kongsikan bersama kakitangan dan golongan yang memerlukan,” katanya.

Tambahnya, untuk memberikan motivasi kepada kakitangannya, beliau akan memberikan sebanyak RM5 setiap hari kepada pekerjanya yang datang awal sebelum 8.45 pagi.

“Poto mempunyai lima cawangan dan mempunyai lebih 100 kakitangan cawangan di Putrajaya, Johor Bahru, Segamat, Seremban, Kuching dan wakil di Kuantan.

Dengan kemudahan komunikasi dan teknologi maklumat, pelanggan hanya menggunakan internet untuk membuat tempahan dan kita ia menyebabkan kita mengurangkan pembukaan cawangan baharu,” katanya.

Ab Rahman berkata, setiap tahun jualannya meningkat sejak 2003 iaitu RM4 juta dan kini jualannya melebihi RM60 juta.

“Pada tahun ini, saya menjangkakan jumlah jualan adalah RM60 juta dan dipacu oleh beberapa pakej destinasi baharu antaranya negara Norway, Denmark dan Sweden membuka laluan baharu ke Poland, Republik Check dan Moscow. Moscow mendapat permintaan yang baik walaupun keadaan ekonomi sekarang.

“Saya juga melihat trend jualan agak menurun sedikit pada awal tahun ini dan yakin ia akan meningkat semula menjelang akhir tahun ini. Ini disebabkan kejatuhan ringgit dan kesan daripada pelbagai jenis penyakit di luar negara serta peperangan,” katanya yang merupakan anak kepada Mohd Ali Abdullah dan Maziah Yunos.

Sumber : Sinar Harian