Kuala Lumpur 16 Nov. – Menteri Pertanian & Industri Asas Tani, Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek hari ini melancarkan Skim Pembiayaan TEMAN TEKUN iaitu produk pembiayaan mikro secara berkumpulan yang terdiri daripada 5 orang usahawan.

Beliau berkata, antara kelebihan skim ini adalah caj terendah yang dikenakan iaitu sebanyak 4% dengan bayaran serendah RM12 seminggu dan proses kelulusan yang cepat dalam tempoh 7 hari bekerja.

Menurut Ahmad Shabery Cheek, skim ini menekankan konsep tanggungjawab bersama di kalangan ahli kumpulan sebagai jaminan sosial bagi memastikan usahawan berkenaan menggunakan pembiayaan untuk tujuan seperti dipohon.

Katanya, skim ini sangat berpotensi dalam membantu dan membuka ruang yang lebih luas kepada usahawan kecil Bumiputera bagi memula dan mempertingkatkan perniagaan sedia ada.

“Saya dimaklumkan, walaupun skim ini baru dilancarkan, tetapi projek perintis telah pun dilaksanakan di beberapa buah kawasan terpilih di sekitar Lembah Klang iaitu Pasar Malam Taman Melawati, Uptown Danau Kota, Pasar Tani Setiawangsa dan Keramat Mall sejak bulan Mac yang lalu.

“Hasilnya, seramai 30 orang peniaga melibatkan 6 buah kumpulan telah membuat pinjaman melalui skim dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM175,000.00,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk seri Tajuddin Abdul Rahman dan Anthony Nogeh Gumbek.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery Cheek berkata, sehingga Oktober 2015 seramai 6,805 usahawan (1,361 kumpulan ) dengan jumlah pembiayaan RM45,043,500.00 telah disalurkan di bawah Skim Pembiayaan TEMAN TEKUN.

Melalui skim ini, beliau berharap agar lebih ramai usahawan Bumiputera dapat dibantu selaras dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup isi rumah melalui aktiviti keusahawanan.

Dalam pembentangan Bajet 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM600 juta kepada TEKUN Nasional untuk pembiayaan keusahawanan iaitu RM500 juta untuk usahawan Bumiputera dan RM100 juta untuk usahawan India.